BAGAN SERAI – Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengusaha Jeti Kelip-Kelip (PPJKK) Kampung Dew merayu kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak menyegerakan usaha pewartaan zon habitat kelip-kelip di Kampung Dew, di sini sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).
Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata usaha mewartakan segera habitat seluas 152.9 hektar itu penting demi memelihara dan memulihara kawasan itu daripada ancaman pencerobohan haram.
Menurutnya cadangan pewartaan zon habitat kelip-kelip sebagai HSK sudah dikemukakan beberapa tahun lalu, namun gagal dilaksanakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian atas faktor tertentu.
“Pada dasarnya PTG Perak memaklumkan tiada permasalahan untuk pewartaan dibuat, tetapi isunya adalah masalah pertindihan daripada aspek hak milik tanah.
“SAM dan persatuan (PPJKK) mencadangkan kerajaan baharu Pakatan Harapan bertindak mewartakan dahulu mana-mana tanah kerajaan di kawasan cadangan pewartaan yang tidak mempunyai sebarang masalah tanah milik.
“Tindakan itu pastinya membuktikan kerajaan PH Perak bersungguh-sungguh memenuhi janji dalam manifesto Pilihanraya Umum ke-14 untuk menjaga kelestarian sumber alam sekitar di negeri ini,” katanya pada sidang media di Jeti Kelip-kelip Kampung Dew di sini hari ini.
Sementara itu, Setiausaha PPJKK, Shukor Ishak ketika ditemui merayu PDT Kerian untuk mengotakan janji dengan mendesak penceroboh habitat kelip-kelip memulihara semula dan membiayai sepenuhnya kos penanaman anak pokok bakau di kawasan diterokai.
“Kami menggesa perkara itu diberi perhatian serius PDT Kerian memandangkan kos ditanggung bagi memulihara kawasan paya bakau yang diteroka amat tinggi dan tidak mampu kami tanggung.
“Saya turut mengharapkan campur tangan kerajaan PH Perak menyelesaikan permohonan kami kerana perkara itu penting demi memelihara zon habitat kelip-kelip terbaik di Malaysia,” katanya. – BERNAMA