KUALA LUMPUR – Cadangan untuk memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan memberi impak positif kepada peruncit berikutan pengguna akan mempunyai lebih banyak kuasa membeli untuk membeli makanan dan perkhidmatan, kata syarikat pegangan pelaburan, PPB Group Bhd.
Pengerusi Tan Sri Oh Siew Nam berkata walaupun segmen perniagaan tani dan bijirin kumpulan itu tidak melibatkan GST berikutan pengilangan makanan haiwan dan pengilangan tepung tidak tertakluk kepada cukai, syarikat itu menjangka pertumbuhan yang lebih baik susulan penggunaan domestik akan terus meningkat.
“Pada dasarnya, perniagaan kami tidak terjejas oleh GST. Bagaimanapun, apa yang baik ialah orang yang tidak membayar cukai sebelum ini (iaitu sebahagian daripada (rakyat Malaysia) penduduk), tidak perlu lagi membayar cukai dan ini memberi mereka lebih banyak pendapatan boleh guna,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini hari ini.
Syarikat itu mengendalikan pelbagai segmen perniagaan daripada produk makanan pengguna, pameran filem dan pengedaran, kejuruteraan alam sekitar dan kemudahan untuk hartanah dan pelaburan, serta operasi lain.
Ditanya mengenai kos gandum yang lebih tinggi dan kekurangan komoditi itu daripada negara-negara pengeksport tradisional, Oh berkata kini terdapat lebih banyak negara-negara sedang pesat membangun mengeksport gandum termasuk Ukraine dan Argentina, yang menghasilkan gandum laut hitam.
“Bagaimanapun, harga tepung tidak naik, hanya kos gandum. Bagaimanapun, jika kami tidak dapat menampung kenaikan harga kos gandum, kami mungkin tidak mempunyai pilihan melainkan berkongsi kos itu dengan pembeli.
“Memandangkan sumber gandum adalah pelbagai, pengilang tepung perlu mempunyai teknologi dan pengetahuan yang lebih mendalam tanpa menjejaskan kualiti, dan pembeli perlu lebih dinamik berikutan mereka mungkin perlu menyesuaikan formulasi atau resepi semasa mereka untuk dipadankan dengan produk mereka,” kata Oh.
Sementara itu, mengenai pelan pengembangan, Pengarah Urusan Lim Soon Huat berkata syarikat merancang untuk membuka kilang tepung baharu di Vietnam Selatan dengan peruntukan perbelanjaan modal sebanyak RM90 juta.
“Setakat ini, kami telah membelanjakan RM1 juta untuk kilang tersebut. Ia sedang diusahakan dan akan mengambil masa 18-24 bulan untuk menyiapkan kilang tersebut, dijangka pada 2019,” katanya.
Syarikat itu, yang memiliki rangkaian Golden Screen Cinemas (GSC), turut merancang untuk membuka sembilan cawangan baharu dalam negara iaitu di Pulau Pinang, Lembah Klang dan Johor Bahru, sebelum meninjau pasaran serantau terutamanya Indonesia.
Ia turut memperuntukkan RM21 juta pada tahun ini untuk menaik taraf dan membaik pulih pawagam utamanya di negara ini.
GSC merupakan syarikat pengendali panggung wayang terbesar di Malaysia dengan lebih 40 peratus bahagian pasaran.
“Secara keseluruhannya, berdasarkan pengurusan yang baik dan perbelanjaan pengguna yang bertambah baik, perniagaan teras syarikat itu dijangka mencatat prestasi yang memuaskan pada 2018,” kata Lim. – BERNAMA

