KUALA LUMPUR – Selepas berjaya mengisi jawatan Menteri Kewangan, wakil kaum Cina kini menuntut supaya Kabinet baharu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mewujudkan jawatan timbalan perdana menteri diwakili Cina.
Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) membuat cadangan itu selepas Mahathir melantik timbalan perdana menteri dan tiga menteri kanan dalam Kabinet baharu selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14.
Presiden pertubuhan itu, Tan Sri Pheng Yin Huah juga menuntut jawatan menteri atau timbalan menteri di kementerian-kementerian yang disifatkan sebagai penting, lapor Sinchew Daily seperti dipetik Malaysia Gazette.
Selain Kementerian Kewangan yang sudah diisi oleh wakil DAP, kementerian penting lain bagi kaum Cina ialah Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kewangan, Pendidikan dan Dalam Negeri.
Selain tuntutan jawatan menteri dan timbalan menteri, pertubuhan Cina itu turut menuntut kerajaan baharu segera melaksanakan janji-janji pilihan raya seperti menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), tol lebuh raya.
Pada masa sama, Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menuntut kerajaan segera mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang kontroversi itu.
Semua janji ini memenuhi kepentingan masyarakat Cina yang menguasai perniagaan dan melaksanakan agenda pendidikan yang berbeza dengan pendidikan arus perdana negara.
Kumpulan-kumpulan perniagaan Cina menyambut baik kerajaan baharu yang dianggap akan mewujudkan suasana yang selari dengan kepentingan mereka terutama melibatkan perniagaan.
Yin Huah dilapor berkata, tuntutan-tuntutan tersebut wajar dipenuhi memandangkan rakyat telah memberikan sokongan besar dalam tahap “tsunami” kepada Pakatan Harapan hingga dapat menubuhkan kerajaan baharu.
Jawatan timbalan perdana menteri dari kaum Cina telah lama dituntut oleh kaum Cina.
Tahun lalu, sebuah pertubuhan Cina, Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM) mencadangkan supaya kerajaan melantik seorang timbalan perdana menteri dari kalangan orang bukan Melayu atau Islam, untuk mengukuhkan kedudukan politik bukan Melayu. – Mynewshub.cc

