KUALA LUMPUR – Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz optimis kerajaan baharu yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan membawa impak yang positif kepada industri penerbangan.
“Dengan kerajaan baharu yang diterajui oleh Tun, kita dapat menjangka persekitaran operasi akan menjadi lebih mesra perniagaan dan kekangan yang dihadapi oleh industri penerbangan dapat dipermudahkan,” katanya dalam catatan di laman Facebook beliau, Rafidah Aziz Malaysian Citizen, hari ini.
Rafidah, yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata dengan persekitaran yang lebih baik, beliau berharap syarikat penerbangan tambang rendah itu akan dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
“Kami akan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada anda. Mari kita lihat ke hadapan, dengan positif, dan marilah kita meletakkan masalah daripada kerajaan yang lalu di belakang kita.
“InsyaAllah, AirAsia akan terbang di langit yang lebih jelas mulai sekarang,” katanya. – BERNAMA