SAIFUDDIN Abdullah, Calon PKR Parlimen Indera Mahkota, mungkin terlepas cakap ketika diwawancara portal FMT pada 26 April lalu. Saifuddin sangat yakin, Tsunami Melayu bakal berlaku pada 6,7 dan 8 Mei.
Ini pelan pembangkang untuk kempen 72 jam terakhir sebelum Hari Pengundian. Tsunami Melayu umpama D-Day bagi Pakatan Harapan yang kononnya mahu mengubah undi Melayu ke PKR.
Saifuddin tidak bekerja sendirian. Dia dibantu calon PKR Pekan, Zahid Mat Arip (ZMA) yang menyerang Pekan dengan isu Felda. Konon, Felda mencipta hutang untuk mengikat peneroka supaya taat kepada kerajaan.
ZMA juga tidak bersendirian. Ceramahnya pada 28 Mei bagi membuka kempen, turut mendedahkan PM Najib bertanggungjawab terhadap isu hutang peneroka. ZMA dibantu oleh portal Sarawak Report (SR) yang berpangkalan di UK.
SR pada 28 April lalu, turut menyiarkan isu laporan agensi audit bertauliah, KPMG mengenai Felda. Kata SR, langkah Felda membeli Eagle High Plantation di Indonesia, satu skandal.
Kombinasi Saifuddin, ZMA dan SR nyata tidak menviral. Apa sebabnya?
Jawapannya mudah. Calon-calon PKR dan DAP dalam pakatan pembangkang tidak menyahut isu ini. Strategi ini dianggap menguntungkan parti Mahathir Mohamad, PBBM.
Tsunami Melayu yang berteraskan undi Felda hanya akan menguntungkan calon-calon PBBM yang bertanding di bawah logo PKR. Ini kerana undi Felda hanya berpusat di 52 kawasan parlimen yang ditandingi calon PBBM.
PKR sejak hari pencalonan telah beralih arah. Rafizi Ramli, Tian Chua dan Nurul Izzah di kem PKR mengubah haluan kempen dengan menyerang SPR berikutan kegagalan Tian Chua menjadi calon.
Malah, Mahathir juga berpaling arah dengan mengubah strategi kempen dengan menumpukan pada isu SPR.
Jadi, ZMA menjadi anjing mandul di Pekan dan terpaksa menyalak sendirian berhubung isu Felda.
ZMA wajar terasa dikhianati. Apa tidaknya, dia dihantar ke Pekan sebagai calon untuk menyerang PM Najib secara peribadi berhubung isu Felda. Ketika ZMA sudah menyalak, dan portal SR juga membantu di peringkat global, isu Felda tiba-tiba diabaikan.
Saifuddin pasti ikut terkedu. Misi Tsunami Melayu yang diwarwarkan kini nampak dangkal dan tidak menjadi.
Apa lagi apabila pembangkang pun saling memilih isu bagi kepentingan masing-masing.
Jadi… bye bye Tsunami Melayu! – MYNEWSHUB.CC

