LEGA… Seekor Harimau Siberia di Hungary buat pertama kali mendapat rawatan sel stem Lipogems untuk masalah sendi pinggul pada Rabu lalu.
Pembedahan lipogem adalah prosedur sel stem yang menggunakan tisu lemak pesakit sendiri untuk mendapatkan sel stem regeneratif yang dapat menyembuhkan sendi yang cedera.
Prosedur ini dicipta pada tahun 2010 oleh Dr. Carlo Tremolada, pakar bedah plastik Itali yang menggunakannya untuk pembedahan plastik dan kosmetik.

Cara pembedahan ini telah berjaya digunakan untuk mengubati sendi manusia pada masa lalu.
Lapor Euro News, seekor harimau Siberia di Zoo Szeged, selatan Hungary bernama Igor telah menderita sakit sendi pinggul sejak beberapa tahun lalu yang memerlukan pembedahan untuk sembuh.
Selepas mendapat janji temu doktor, haiwan liar itu telah dibedah oleh Dr. Róbert Gippert, doktor haiwan di klinik haiwan Kaposvár.
“Sendi pinggul Igor akan dirawat seperti sendi pinggul manusia. Semasa proses rawatan sel stem, sejumlah kecil tisu lemak diambil dari haiwan ini. Ia akan disuntik semula pada sendi yang sakit,” katanya.

Menurutnya lagi, Igor akan mengambil masa beberapa hari untuk sembuh sepenuhnya dan kemudian dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
Igor telah tinggal di zoo tersebut sejak 13 tahun lalu dan dijaga dengan baik oleh pelatih haiwan yang bertugas. – MYNEWSHUB.CC/MIZE