KANGAR – Parti Amanah Negara (PAN) Perlis menamakan empat calonnya yang dipilih bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Mei ini.
Pengerusinya, Wan Kharizal Wan Khazim berkata mereka ialah beliau sendiri yang bertanding DUN Beseri (N02); Ketua Angkatan Wanita PAN (AWAN), Che Mazlina Che Yob, 55, di DUN Santan (N05).
Anggota jawatankuasa PAN bahagian Kangar, Mokhtar Che Kassim, 52, di DUN Bintong (N06) dan Timbalan Pengerusi PAN Perlis, Ustaz Zolkharnain Abidin, 51, di DUN Sanglang (N15).
Dalam kenyataan media hari ini, Wan Kharizal, 56, berkata keputusan agihan kerusi dicapai dalam mesyuarat Pakatan Harapan (PH) Perlis, baru-baru ini.
Pengumuman ini bermakna hanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang belum mengumumkan calon mereka manakala DAP yang bertanding satu kerusi sahaja di DUN Titi Tinggi menamakan Pengerusi negeri Perlis, Teh Seng Chuan sebagai calon.
DUN Titi Tinggi yang disandang Barisan Nasional (BN) diwakili oleh MCA.
PKR diperuntukkan satu kerusi Parlimen iaitu Kangar dan lima kerusi DUN iaitu Chuping, Sena, Indera Kayangan, Kuala Perlis dan Simpang Empat.
PKR dijangka mengumumkan calon-calonnya pada 24 April ini dalam majlis memperkenalkan calon-calon PH di pusat khidmat PKR di Taman Sri Firdaus di Kangar.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah pun mengumumkan calon yang bertanding kerusi Parlimen Padang Besar dan Arau manakala DUN ialah Pauh, Guar Sanji, Mata Ayer, Tambun Tulang dan Kayang. – BERNAMA
