PILIHAN Raya Umum ke-13 mungkin telah terlalu lama berlalu bagi sesetengah orang, dan banyak yang sudah tidak diingati tentang pilihan raya itu.
Langkah memperkenalkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 boleh difahami dengan melihat kembali penyebaran berita palsu semasa PRU13 dulu.
PRU13 dulu disebut-sebut sebagai pilihan raya paling kotor dalam sejarah oleh pembangkang, menujukan semua jangkaan tindakan kotor kepada kerajaan BN.
Pada masa itu, disebut-sebut yang UMNO akan mencetuskan kekacauan kalau pembangkang menang, dan pihak kerajaan melakukan pelbagai penipuan untuk kekal memerintah.
Menjelang hari pilihan raya, media sosial dan aplikasi seperti WhatsApp telah dibanjiri penipuan-penipuan yang cepat tersebar, tanpa satu pun dapat dikenal pasti sumbernya.
Mesej-mesej palsu berterusan hingga hari pilihan raya dan selepas, yang semuanya boleh mencetuskan kekacauan dan ketidakstabilan dalam negara jika ada yang bertindak luar kewarasan.
Dalam keadaan suhu politik yang tinggi itu, bila-bila masa sahaja boleh berlaku kekacauan malah keganasan oleh pihak yang emosi kerana taksub politik.
Apabila berita palsu telah tersebar, tidak ada pihak yang sedia mengaku salah, dan mustahil untuk menjelaskan kesilapan berita itu kalau pun sudah diakui kesalahannya kerana telah terbesar terlalu meluas.
Selepas berpuluh malah beratus kumpulan WhatsApp menerima berita palsu itu, ramai yang akan mempercayai berita palsu itu.
Malah, ada yang tanpa berfikir akan menghantar ke kumpulan lain dan tidak bertanggungjawab tentang kesahihannya.
Di Facebook, sering kita lihat satu gambar disertakan penerangan ringkas bersama gambar itu, tetapi direka dan bukan daripada keterangan asal gambar tersebut.
Gambar yang asli wajib ada sumber agensinya, jurugambar, beserta subjek, tarikh dan tempat kejadian.
Gambar yang diperolehi dari Facebook atau WhatsApp seperti ini telah dijadikan berita palsu untuk tujuan politik dengan membuang keterangan asal dan ditambah keterangan palsu.
Gambar seperti ini biasanya bertujuan membangkitkan kebencian terhadap pemimpin-pemimpin negara, mencetuskan rasa tidak percaya pada jentera kerajaan seperti pasukan keselamatan negara dan sebagainya.
Semua ini boleh membawa kepada kekacauan apabila rasa tidak selamat, rasa marah dan tidak rasional dibawa oleh berita palsu ini semua tersebar dan dipercayai oleh ramai orang.
Akhirnya, berita palsu ini boleh mewujudkan suasana panas yang boleh dieksploit oleh pihak yang berniat jahat di dalam dan dari luar negara, menjadikannya satu ancaman kepada keselamatan negara.
Inilah satu akibat buruk berita palsu yang tersebar, lebih-lebih lagi yang tersebar semasa musim yang penuh emosi seperti semasa pilihan raya umum.
Pembangkang menuduh kerajaan BN mahu meluluskan Akta Antiberita Tidak Benar untuk menutup kesalahan terutama pada masa musim pilihan raya ini.
Pembangkang perlu melihat sendiri apa yang mereka sendiri lakukan sepanjang PRU13, menyebarkan berita palsu pengundi hantu dari Bangladesh, harga roti Gardenia naik mendadak, dan mesej di Twitter Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mendakwa pembangkang sudah menang walaupun pengiraan undi masih peringkat awal.
Semua ini meletakkan kesalahan di bahu kerajaan BN, bukan sahaja dengan berita palsu itu tetapi juga persepsi sampingan yang timbul daripada berita palsu itu.
Berita palsu seperti inilah yang membantu pembangkang semasa PRU13 hingga membolehkan mereka menang di banyak tempat, hasil persepsi buruk terhadap kerajaan BN dan kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Mereka takut dengan Akta Antiberita Tidak Benar ini kerana undang-undang ini menghalang penyebaran berita palsu.
Salah satu sebab berita palsu tersebar ialah kerana tidak ada hukuman terhadap penyebarnya. Apabila ada hukuman, ramai akan berfikir dua kali. – Mynewshub.cc

