KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sering diberi kepercayaan melaksanakan pelbagai projek di bawah Kementerian Pertahanan, kata Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.
Beliau berkata tidak timbul isu LTAT tidak dilibatkan dalam projek-projek berkepentingan yang melibatkan kementerian berkenaan seperti didakwa bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz.
“LTAT memperakui bahawa Kementerian Pertahanan sentiasa memberi keutamaan kepada LTAT bagi pelaksanaan projek khususnya yang melibatkan kaedah ‘land swap’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata secara keseluruhannya, perbadanan penuh milik LTAT iaitu Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) menyempurnakan 17 projek pembinaan melibatkan kerjasama dengan Kementerian Pertahanan.
“Malah, keuntungan diperoleh LTAT melalui pelaksanaan pelbagai projek tersebut turut dipulangkan semula kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui dividen tahunan LTAT yang dikreditkan kepada akaun pencarum setiap tahun,” kata Lodin.
Beliau seterusnya berkata selain memberi dividen kepada pencarum warga ATM, LTAT turut melaksanakan pelbagai pembayaran, insentif dan sumbangan serta tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat secara langsung kepada anggota dan veteran ATM serta anggota keluarga mereka. – BERNAMA

