KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines menyatakan bahawa pihaknya tidak menawarkan sebarang proses tender untuk pesawat badan lebar seperti dilaporkan sebuah agensi berita asing.
“Rujukan terhadap laporan berkenaan, ‘Malaysia Airlines launches widebody tender process, could oust Boeing 787 deal’ (Malaysia Airlines tawarkan proses tender pesawat badan lebar, boleh membatalkan perjanjian Boeing 787) adalah dari Reuters.
“Malaysia Airlines ingin menjelaskan bahawa, laporan berkenaan adalah spekulatif dan salah,” kata Malaysia Airlines dalam satu kenyataan hari ini.
Artikel berkenaan yang memetik sumber tidak dinamakan, menyebut Malaysia Airlines menawarkan proses tender baharu untuk 20 hingga 30 pesawat badan lebar yang boleh menggantikan perjanjian dengan Boeing seperti dipersetujui sewaktu lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ke Amerika Syarikat, tahun lepas.
Menurut syarikat penerbangan itu, pada masa ini tiada proses tender seperti didakwa dan memorandum persefahaman dengan Boeing seperti diumumkan Perdana Menteri, kekal.
Malaysia Airlines tidak akan memberikan sebarang ulasan berhubung perkara ini lagi, kata syarikat itu. – BERNAMA

