BERLAKON dan menyanyi merupakan dua bidang yang berbeza. Tidak semua pelakon boleh menjadi penyanyi dan pada masa sama juga, tidak semua penyanyi boleh menjadi pelakon.

Tetapi bagi pelakon Datin Diana Danielle, dia berasa agak terkilan apabila ada segelintir masyarakat yang memandang rendah terhadap kemampuan sesetengah pelakon yang kini menceburi bidang nyanyian.
“Orang selalu anggap, pelakon tidak boleh nyanyi. Kenapa perlu skeptikal? Jadi, saya harap Infiniti akan mengubah persepsi masyarakat terutama terhadap kemampuan saya,” katanya dipetik daripada portal BH Online.
Tahun lalu, selepas kemunculan pertamanya bersama dengan single berjudul Tentang Kita, Diana telah dikecam kerana dianggap sebagai tidak boleh menyanyi.

Bagaimanapun, ibu kepada dua cahaya mata itu tidak mahu berputus asa dengan mudah lalu dia mengambil keputusan untuk sekali lagi muncul dengan single keduanya berjudul Infiniti yang dikatakan mencabar vokalnya.
Lagu berkenaan menampilkan dia berduet bersama dengan penyanyi dan komposer Reyza Hamizan.
“Tidak sabar saya menanti reaksi umum terhadap lagu ini. Pada masa sama, saya juga mahu mencabar diri kerana lagu ini membawa makna besar dalam hidup saya.
“Ia lagu kerohanian pertama yang saya rakamkan, malah boleh diterjemahkan sebagai gambaran kasih sayang sesama insan,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, pelakon berusia 26 tahun itu baru sahaja selesai menjalani penggambaran bagi drama bersiri kegemaran ramai sekitar tahun 2005, Gol & Gincu yang bakal menemui penonton di saluran 8TV pada penghujung tahun ini.
Bagaimanapun, terdapat sesetengah netizen bagaikan tidak boleh menerima keputusan pengarah dan penerbit drama berkenaan apabila wataknya bersama dengan Ummi Nazeera diwujudkan kerana mereka berdua dianggap telah menggantikan pelakon filem berkenaan.
“Ramai menyangka saya dan Ummi menggantikan watak utama, sedangkan kami melakonkan karakter berbeza. Apabila isu ini dibangkitkan, saya risau bagaimana reaksi peminat apabila drama ini ditayangkan kelak,” tambahnya juga.

Selain berlakon dan menyanyi, Diana yang juga merupakan isteri kepada Datuk Farid Kamil turut mula melebarkan nama dalam dunia seni dengan menjadi pengacara untuk program bual bicara Kata Serasi bersama Nazrudin Habibur Rahman atau lebih dikenali sebagai Naz di saluran ntv7.
“Saya bersyukur dapat bergandingan dengan pengacara berpengalaman seperti Naz. Dia banyak membantu saya mengendalikan Kata Serasi dengan lebih baik.
“Tambahan pula, program ini dirakamkan secara langsung, membuatkan saya perlu melakukan banyak persediaan supaya tidak nampak kaku di depan kamera. Alhamdulillah, setakat ini saya selesa mengendalikan program ini,” katanya. – MYNEWSHUB.CC/AH

