LAMAN video dalam talian Netflix baru-baru ini menerbitkan drama bersiri Amo yang berkisarkan tentang dadah di Filipina dan dilihat pengkritik membawa propaganda politik pro-Duterte.
Siri arahan Brillante Mendoza, 57, menceritakan kisah seorang remaja bermasalah bernama Joseph, yang terjerumus ke lembah jenayah di Manila, Filipina.
Aktor-aktor yang membawa watak pengedar dan penguasa dadah, pihak polis dan pegawai kerajaan yang korup semuanya ditonjolkan dalam siri 12 episod ini.

Siri yang dihasilkan oleh rangkaian penyiaran komersil TV5 ditayangkan secara global, bermula hari ini.
Rentetan itu, Brillante Mendoza yang dilihat sebagai pendukung Presiden Rodrigo Duterte, 73, menghasilkan siri Amo seolah-olah memberi dokongan kepada presiden negara kepulauan itu atas dasar yang dilaksanakan di negara ini.

Bagaimanapun, Mendoza menafikan hal tersebut dengan menyatakan tiada unsur berkaitan politik dalam siri yang dihasilkan.
“Sebagai pembuat siri yang melangkah ke projek ini, saya ingin menceritakan kisah yang benar. Saya tidak peduli dengan politik.
“Orang ramai perlu menonton Amo terlebih dahulu. Hanya kerana saya membuat filem mengenai dadah, orang mula menuduh saya melakukan filem propaganda,” katanya dipetik media.

Terdahulu, Duterte melancarkan kempen untuk menghapuskan dadah dengan menganggarkan bahawa lebih daripada 12,000 orang mati dibunuh akibat terlibat dengan dadah sebaik sahaja beliau menjadi Presiden Filipina pada 2016.
Walaupun dasarnya itu mendapat kutukan oleh rakyatnya sendiri namun Duterte bertegas dengan prinsipnya itu.
Dasar memerangi pengguna dadah di negara tersebut pernah dikecam hebat oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan kumpulan hak asasi manusia antarabangsa dan menganggap tindakan presiden itu sebagai jenayah dan tidak berkeprimanusiaan. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

