KUALA LUMPUR – Lima negeri hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing berkuat kuasa esok menyusuli pembubaran Parlimen ke-13, yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Setakat pukul 6 petang, Sabah menjadi negeri pertama yang mengumumkan pembubaran itu diikuti Perlis, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan, bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kawasan DUN negeri-negeri berkenaan diadakan serentak dengan peringkat Parlimen.
Perdana menteri hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa esok bagi memberi laluan kepada PRU14, berbeza dengan kelaziman pengumuman dan pembubaran dibuat pada hari yang sama.
Di KOTA KINABALU, Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dalam sidang akhbar di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, berkata beliau telah mendapatkan persetujuan daripada Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin kira-kira 2.30 petang di Istana Negeri bagi pembubaran DUN Sabah berkuat kuasa esok.
Di KANGAR, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man mengumumkan pembubaran DUN itu selepas mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Di JOHOR BHARU , Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar memperkenan agar DUN Johor dibubarkan esok.
Berdasarkan kenyataan yang dimuat naik melalui laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim, baginda berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum PRU14.
Di NEGERI SEMBILAN, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan pembubaran DUN berkuat kuasa setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.
Di MELAKA, DUN dibubarkan esok setelah Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob hari bagi membolehkan pembubarannya.
Bagi SELANGOR, satu istiadat pembubaran DUN Selangor akan diadakan di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah, Klang, Isnin (9 April) pukul 10.30 pagi.
Sumber Istana Selangor berkata tarikh istiadat itu ditetapkan selepas mendapat perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sementara itu, di KEDAH, PERAK dan PAHANG, Menteri Besar berkenaan akan menghadap Sultan masing-masing esok bagi mendapat perkenan pembubaran DUN.
Bagi tiga lagi negeri – TERENGGANU, KELANTAN dan PULAU PINANG, ketua kerajaan negeri berkenaan dijadual menghadap Sultan dan Yang Dipertua masing-masing untuk membolehkan DUN dibubarkan.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dijadual menghadap Sultan Mizan Zainal Abidin pada pagi Rabu (11 April) di Istana Syarqiyyah untuk mendapat perkenan baginda bagi DUN dibubarkan.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata beliau dijangka menghadap Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra malam ini bagi memohon perkenan pembubaran DUN negeri itu.
Satu sidang media mengenainya akan diadakan pukul 12 tengah hari esok.
Kerajaan DAP Pulau Pinang pula akan mengadakan mesyuarat exco terlebih dahulu sebelum memutuskan tarikh pembubaran DUN.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata tarikh mesyuarat itu akan diumumkan kemudian. – BERNAMA

