JIKA lembu di Jepun diberi minum bir dan diurut untuk melembutkan dagingnya, lain halnya di Kelantan yang mahu menggunakan kaedah memperdengarkan bacaan al-Quran kepada lembu.
Lapor Astro Awani, cadangan tersebut mahu dilakukan dengan harapan daging itu akan bermutu tinggi sekali gus menjadi pengeluar bertaraf tinggi seperti “Kobe” yang terkenal akan kelembutan dan harga tinggi di pasaran.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kerajaan sedang bertindak dalam Pelan Pembangunan Sistem Lembu Pedaging Hibrid atau Naim Beef.
“Program Naim Beef ini merupakan program penyusunan sistem petani mengikut sistem dirancang ke arah mengeluarkan daging yang baik.
“Antara ciri-ciri untuk daging hebat lembu ini perlu dijinakan,” katanya selepas majlis perasmian Karnival Antarabangsa Bio Kelantan 2018 di Kelantan Trade Centre (KTC), di Kota Bharu semalam.

Menurutnya lagi, sehingga kini Kelantan mempunyai lebih 19,000 penternak lembu dan kebanyakan penternak lembu di Kelantan mahir berurusan dengan ternakan mereka sehingga lembu menjadi lebih jinak.
Tambahan pula, Kelantan muncul sebagai negeri pertama mengeksport lembu sado dari baka Charoleis yang bernilai tinggi dan merupakan negeri kedua tertinggi dalam pengeksportan lembu ke luar negara.
Lembu sado yang diimport dan dibawa masuk dari benua Eropah mampu dijual dengan harga antara RM12,000 hingga RM15,000 seekor. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

