KUALA BERANG – “Saya tidak sangka Menteri Besar sendiri datang bawa khabar gembira bahawa saya bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi, ” kata Reemy Razak, 20, seorang anak orang Asli.
Beliau yang mencipta sejarah menjadi pelajar pertama dari kalangan masyarakat Orang Asli Terengganu berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Awam setelah memenuhi syarat-syarat kemasukan ke institusi pengajian dalam negeri.
“Saya sangat teruja dapat tahu boleh masuk universiti, siapa tidak suka kerana tiada lagi orang kampung saya yang belajar sampai masuk ke sana… saya orang pertama kebanggaan emak dan ayah.
“Sebelum ini saya ada dengar juga saya dapat masuk universiti tapi saya ingat main-main.. saya tidak sangka ia betul.
“Tiba-tiba Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman) sendiri datang umum di kampung saya… panggil saya dan ayah naik ke pentas,” katanya pada pemberita selepas majlis Ramah Mesra Menteri Besar Terengganu bersama Masyarakat Orang Asli Sungai Berua di sini, hari ini.
Tambah Reemy, berita kemasukan beliau ke universiti ini sekaligus dapat membuka mata masyarakat di luar sana bahawa mereka juga mampu berjaya.
“Memang saya ke sekolah orang mengejek itu perkara biasa… tapi saya sudah alah dan timbul juga perasaan saya ingin tunjuk kepada mereka yang saya akan berjaya.
“Alhamdulillah bila saya dapat tahu saya akan masuk ke Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) walaupun hanya mendapat keputusan biasa-biasa sahaja.. saya amat gembira tetapi masih belum mengetahui kursus apa yang akan saya pelajari.
“Saya harap saya akan mendapat kursus perguruan kerana saya ingin jadi guru dan ingin kembali ke sini untuk mengajar anak-anak Orang Asli,” kata beliau.
Ayah beliau, Razak Tebong, 45, melahirkan rasa gembira anaknya kini mampu menaikkan nama masyarakat Orang Asli dan kampung mereka khususnya.
“Sudah tentu gembira..ayah mana tidak suka anak berjaya. Lagipun dia seorang sahaja anak saya yang memamg belajar sehingga ke SPM… abang-abangnya sekadar sampai ke peringkat PT3 sahaja.
“Kalau lambat bangun, memang saya akan gerak dan suruh juga beliau ke sekolah.
“Aktiviti masuk hutan juga saya akan kurangkan dan hanya masuk masa hari minggu terutama masa dia sedang hadapi peperiksaan SPM tahun lalu,” katanya. – BERNAMA