KUALA LUMPUR – Seramai 502,246 masyarakat India menerima manfaat daripada RM230 juta peruntukan program di bawah Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) sejak 2014 , Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri S. K. Devamany berkata daripada jumlah itu, peruntukan RM50 juta dibelanjakan tahun lalu yang dimanfaatkan 113,116 masyarakat India.
“Program-program yang dilaksana bertujuan memberi latihan kemahiran, keusahawanan, peningkatan pencapaian pendidikan dan peningkatan sahsiah diri masyarakat India. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama badan bukan kerajaan dan institusi latihan kemahiran swasta.
“Program ini telah membantu kumpulan sasar meningkatkan taraf hidup antaranya melalui penempatan pekerjaan selepas tamat latihan atau memulakan perniagaan secara kecil-kecilan,” katanya.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mohan Thangarasu mengenai jumlah peruntukan yang disampaikan SEDIC serta tujuan bantuan itu diberikan. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…