SUNGAI PETANI – Seramai 23 individu disyaki penagih dadah ditangkap dalam satu serbuan yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda di sebuah kawasan taman perumahan di Sungai Layar dekat sini, hari ini.
Ketua Pegawai Penguat kuasa AADK Kuala Muda Shamshuri Yusoff berkata mereka merangkumi 21 lelaki dan dua wanita, masing-masing berusia 15 hingga 65 tahun.
“Kesemua mereka positif dadah jenis opiat dan metamfetamina,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Menurutnya kesemua yang ditahan akan disiasat menurut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
“AADK akan terus memantau ‘port penagihan’ yang wujud di kawasan kediaman agar keharmonian dan keselamatan masyarakat sentiasa terjaga, malah masyarakat juga digesa untuk menyalurkan maklumat kepada pihak AADK agar tindakan segera dapat diambil,” katanya. – BERNAMA

