SEORANG penyelia kilang maut disambar petir di tepi pantai berhampiran Dewan Masyarakat Gertak Sanggul, Teluk Kumbar, Balik Pulau, Pulau Pinang sekitar 10 malam semalam.
Lapor Berita Harian, Mohamad Amin Osman, 47, meninggal dunia di tempat kejadian semasa beliau dan dua rakannya sedang menunggu bot nelayan yang bakal membawa mereka memancing di Pulau Kendi.

Ketika kejadian, hujan turun dengan lebat dan secara tiba-tiba petir terus menyambar mangsa yang menyebabkan beliau tercampak ke tepi laut.
Manakala rakan yang berhampiran dengan mangsa turut menerima kesan dengan mengalami kebas pada tangan.
Apabila ditemui, mangsa sudah tidak bernyawa dan rakan mangsa telah dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan ketika dihubungi media mengesahkan kejadian berkenaan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat dan diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.

Sementara itu, anak mangsa, Muhamad Izdhar Mohamad, 21, memberitahu, mereka sempat bertemu pada petang semalam, sebelum bapanya keluar rumah selepas maghrib.
“Tiada perubahan ketara ditunjukkan arwah bapa. Cuma sejak kebelakangan ini, saya nampak arwah agak pendiam.
“Sudah agak lama arwah bapa tidak keluar memancing, namun kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya.
Arwah yang dikatakan seorang yang peramah dan disenangi di tempat kerjanya telah meninggalkan seorang balu bersama tiga orang anak. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

