TASHKENT – Polis di ibu negara Uzbekistan tidak dibenar menyorok di sebarang objek dan pokok bagi memerangkap pesalah lalu lintas dan mereka berisiko jika melakukan kesalahan itu,
Ini termasuk dikenakan hukuman dengan mereka bakal diturunkan pangkat, kehilangan pencen atau langsung diberhentikan kerja.
Pengguna jalan raya di bandar Tashkent sebelum ini mendakwa seragam hijau anggota trafik mengelirukan mereka kerana menyerupai warna dedaun.
Menurut laporan media Uzbekistan, orang ramai menganggap taktik yang digunakan itu tidak adil, lebih kepada usaha memerangkap mereka.
Tindakan anggota polis trafik yang menyorok dan kemudian meredah lalu lintas untuk menyaman pemandu melebihi had laju, banyak menimbulkan masalah daripada menyelesaikannya.
Menurut laporan BBC, media tempatan melaporkan polis juga tidak dibenarkan bersembunyi di sebalik objek seperti bangunan, namun taktik menyorok di sebalik pokok paling mencetuskan kemarahan pengguna.
Berikutan itu, Jabatan Polis Tashkent memutuskan polis tidak boleh memerangkap orang ramai dengan menyorok di sebalik objek dalam usahanya melaksanakan pelbagai langkah.
Ini bagi mengembalikan kepercayaan orang ramai kepada imej jabatan tersebut serta mengurangkan gejala rasuah.
Jabatan itu juga akan mengeluarkan pakaian seragam baru dengan warna lebih terang serta membekalkan kamera mudah alih sebagai usaha untuk mengurangkan rasuah. – Agensi/myMetro Online
*Sekadar Video Hiasan..

