SEMALAM seluruh dunia gempar apabila ramai netizen tular berkongsi berita gembira konon aplikasi Google Earth akhirnya berjaya temui lokasi bangkai pesawat MH370 di Lautan Hindi.
Ia mulanya didedahkan jurutera mekanikal warga Australia, Peter McMahon yang berpengalaman lebih 25 tahun dalam bidang penyiasatan nahas pesawat di seluruh dunia sebelum disensasikan masyarakat global.
Lelaki berusia 64 tahun itu yang hanya menggunakan data pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat dan imej Google Earth, mendakwa pesawat itu berada di Round Island di utara Mauritius.
Susulan pendedahan berkenaan, pasukan Respons MH370 dalam kenyataan mengesahkan laporan penemuan pesawat MH370 bertajuk ‘MH370 found on Google Earth’ yang tersebar luas baru-baru ini adalah tidak berasas.
Ketuanya, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman menasihatkan orang ramai supaya merujuk kepada pihaknya atau pun laman sesawang rasmi MH370 untuk pengesahan, laporan serta berita berkaitan kehilangan pesawat itu.
Pasukan penyelaras di Malaysia tersebut, kata beliau, malahan sentiasa dibimbing oleh pandangan, pendapat dan pengesahan daripada kumpulan pakar yang berpangkalan di Australia dalam memantau isu pesawat berkenaan.
“Oleh itu, Pasukan Respons MH370 ingin menyatakan bahawa laporan tersebut adalah tidak berasas,” jelas beliau yang juga Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), dalam kenyataan media.
“Kami berpendapat bahawa laporan seperti itu tidak beretika bahkan perasaan keluarga serta orang tersayang dalam penerbangan MH370 itu perlu dihormati,” kata Azharuddin merujuk pesawat milik Malaysia Airlines tersebut.
Sebuah portal berita antarabangsa melaporkan McMahon mendakwa konon kawasan pencarian MH370 terletak kira-kira 16 kilometer selatan Round Island, berhampiran sebuah pulau kecil di utara Mauritius.
Beliau mendakwa penelitian berdasarkan imej NASA dan Google Earth itu dilakukan sejak pesawat Boeing 777 yang membawa 239 penumpang dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac, 2014 dilaporkan hilang.
Setakat ini, usaha untuk mengesan bangkai kapal terbang itu belum berhasil sekali gus menjadi berita kehilangan pesawat paling misteri dalam sejarah penerbangan moden antarabangsa. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

