PUTRAJAYA – Sejumlah 758,923 hektar ladang kelapa sawit dan 70 kilang kelapa sawit berjaya mendapat pensijilan Kemampanan Minyak Sawit Malaysia (MSPO) sehingga Februari 2018, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.
Katanya, jumlah hektar yang berjaya dipersijilkan itu menunjukkan peningkatan 210 peratus semenjak kerajaan memandatorikan pensijilan MSPO kepada semua pengusaha dan pengilang kelapa sawit pada Mei 2017.
“Jumlah ini juga termasuk 49 kluster pekebun kecil persendirian dengan kawasan tanaman seluas 9,521 hektar, tujuh kluster pekebun kecil tersusun dengan kawasan tanaman seluas 19,110 hektar dan 260 ladang dengan kawasan tanaman seluas 730,292 hektar,” katanya.
Bercakap kepada media selepas merasmikan Hari Penghargaan MSPO, di sini, hari ini, Mah berkata, kerajaan meletakkan sasaran sebanyak 1.8 juta hektar tanaman kelapa sawit akan mendapat pensijilan pada akhir tahun ini.
“Keluasan tanaman kelapa sawit negara pada masa ini adalah 5.8 juta hektar dan kita yakin kesemua pengusaha dan pengilang kelapa sawit akan berjaya mendapat pensijilan MSPO menjelang Disember 2019,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus meningkatkan usaha untuk menambah baik prinsip dan kriteria MSPO agar sentiasa selari dengan amalan terbaik kemampanan di peringkat antarabangsa yang seterusnya akan diiktiraf negara luar dan badan audit antarabangsa.
Katanya, kerajaan memperuntukkan insentif RM150 juta kepada pekebun kecil untuk mendapat pensijilan MSPO bagi meringankan beban kewangan pekebun kecil disamping mencapai pelaksanaan mandatori MSPO di seluruh negara menjelang 31 Disember 2019.
“Bagi memberikan komitmen tinggil terhadap usaha itu, kerajaan bersetuju menyediakan pelbagai insentif antaranya pembiayaan 100 peratus kos pengauditan, kos penyimpanan racun perosak dan baja serta peralatan perlindungan diri,” kata Mah. – BERNAMA