PETALING JAYA – Seorang bekas pentadbir jualan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang milik majikannya berjumlah hampir RM13,000, Oktober tahun lalu.
Siti Diyana Awang, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah.
Ibu dua anak itu didakwa sebagai pekerja yang diamanahkan dengan wang syarikat berjumlah RM12,984.30 iaitu wang kutipan jualan, telah melakukan pecah amanah jenayah dengan menyalahgunakan wang tersebut untuk kegunaan sendiri.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pharma Line Marketing Sdn Bhd di Jalan Putera Permai 1B, Taman Equine, Seri Kembangan, di sini pada 24 Okt tahun lalu mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan dia kini tidak mempunyai pendapatan tetap kerana sudah tidak bekerja.
“Hanya suami yang bekerja untuk menampung saya dan kedua-dua anak kami yang berusia satu dan tiga tahun,” katanya sambil menangis.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 April untuk sebutan kes. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..

