KANGAR – Janji Pakatan Harapan (PH) untuk menetapkan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri dihadkan kepada dua penggal jika mereka mentadbir negara, adalah tidak praktikal.
Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata cadangan itu tidak akan berjaya kerana setiap dasar dan keputusan kerajaan akan berubah apabila pemimpin bertukar.
“Bila berlaku perubahan dari segi dasar, akan beri kesan kepada negara misalnya dari segi ekonomi, pelabur lihat kepada kestabilan pada dasar negara, jika tidak konsisten pelabur akan lari.
“Apa yang dicadangkan PH itu saya lihat lebih kepada untuk kepentingan parti mereka sendiri, bukan untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Perlis di sini, hari ini.
Beliau mengulas pelancaran Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 yang dilancarkan PH di Shah Alam Khamis lepas.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pelancaran itu dilaporkan berkata langkah itu adalah cara terbaik untuk memastikan ketelusan pentadbiran di negara ini.
Dalam pada itu, Azlan berkata manifesto PH juga disifatkan sebagai tidak realistik kerana berhasrat mengekalkan apa yang ditentang mereka sebelum ini antaranya meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
“Dulu mereka kata BR1M itu rasuah kepada rakyat, tapi sekarang masuk sebagai manifesto, maknanya mereka sengaja taknak akui apa yang dibuat kerajaan pusat itu sebagai sesuatu yang baik,” katanya. – BERNAMA

