GEORGE TOWN – Polis hari ini menahan lima lelaki disyaki terlibat dalam kes bunuh seorang remaja di premis mencuci kenderaan di Lebuh Carnarvon di sini, malam tadi.
BACA: Dituduh Mencuri, Anak Yatim Piatu Mati Dipukul Di Pulau Pinang
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Datuk Mazlan Kesah berkata lelaki berusia antara 27 dan 51 tahun itu ditahan di sekitar Bukit Tengah, Jelutong, Bandar Baru dan Air Itam, di sini.
“Kesemua mereka ditahan dalam operasi khas bermula pukul 2 pagi hingga 9 pagi ini,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata tiga daripada yang ditahan itu ialah pekerja di premis berkenaan. Kesemua mereka akan direman petang ini.
Dalam kejadian pada 7.30 malam tadi, Muneeswaran, 16, pekerja di premis mencuci kenderaan tidak berlesen itu ditemui mati dengan kesan lebam dan berbirat di seluruh badan.
Polis turut menemui kerusi plastik yang telah patah dan kabel elektrik sepanjang 0.9 meter disyaki digunakan untuk membelasah Muneeswaran yang merupakan anak yatim piatu di bawah jagaan rumah anak yatim persendirian di Jalan Scotland di sini. – BERNAMA

