KUALA LUMPUR – Malaysia mengeluarkan 734,364 visa elektronik (e-visa) sehingga semalam, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata e-visa itu yang diperkenalkan untuk 10 negara mulai 1 Mei 2017 menawarkan perkhidmatan yang pemohon hanya perlu membuat permohonan dalam talian dan mencetak sendiri visa Malaysia tanpa perlu hadir ke pejabat perwakilan Malaysia.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Malaysia mendapat kerjasama Interpol dan Aseanapol dalam memantau penggunaan e-visa berkenaan.
“Kami juga akan laksanakan Sistem Saringan Awal Pemeriksaan Penumpang (APSS) yang akan memperkuatkan lagi soal kawalan dan soal menentukan bahawa aspek keselamatan tidak akan ditoleransikan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) mengenai inisiatif Malaysia untuk memudah cara permohonan visa bagi menarik lebih ramai pelancong terutama dari China dan India sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Menjawab soalan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) mengenai sama ada kerajaan bercadang mengecualikan visa untuk pelancong dari China, Ahmad Zahid berkata kerajaan negara itu yang meminta rakyatnya didaftarkan dalam sistem kemasukan ke Malaysia.
“Kita kerjasama dengan mereka kerana pelancong China perlu tahu mereka hanya diberikan visa selama 15 hari dan perlu pulang ke negara mereka (bila tamat tempoh),” katanya.
Ahmad Zahid menambah, kedutaan China di Malaysia pada tahun ini telah mengambil langkah proaktif dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk menarik sekurang-kurangnya tiga juta pelancong negara itu ke Malaysia. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…

