KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail perlu meletak jawatan, kata Jawatankuasa Pusat dan Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR), R.Sivarasa.
Beliau mendakwa, Peguam Negara menghina proses pentadbiran keadilan negara ini kerana tidak mengekalkan tertuduh kes bunuh, Sirul Azhar Umar dalam tahanan atau melepaskannya dengan jaminan.
“Kegagalan ini mengakibatkan Sirul meninggalkan negara dan melarikan diri daripada pendengaran di Mahkamah Persekutuan.
“Proses pentadbiran keadilan telah dihina melalui cara Peguam Negara mengendalikan perkara ini,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Sivarasa mahu Kabinet melakukan siasatan penuh ke atas Peguam Negara berhubung kejadian itu.
“Dalam mana-mana negara lain di mana budaya akauntabiliti diamalkan, Peguam Negara akan meletakkan jawatannya dengan serta-merta,” dakwanya.
Beberapa media hari ini bagaimanapun melaporkan, pihak berkuasa Australia mengesahkan telah menahan Sirul.
Sirul yang berdepan hukuman mati kerana membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu ditahan oleh pasukan imigresen Australia.
Penahanan itu dibuat selepas polis antarabangsa Interpol mengeluarkan notis merah ke atasnya.
Sebelum ini Australia dilaporjan tidak akan memenuhi permohonan kerajaan Malaysia untuk mendapatkan perintah ekstradisi bagi membawa pulang Sirul kerana ia melibatkan hukuman mati yang tidak diamalkan di negara itu.

