KUANTAN – Terpengaruh dengan tawaran pinjaman yang dilihat di laman sosial Facebook menyebabkan seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerugian RM6,520.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Yusof berkata mangsa yang berusia 28 tahun membuat pembayaran itu yang dikatakan sebagai bayaran dokumentasi ke dalam beberapa akaun bank sejak 10 hingga 23 Feb lepas.
Katanya, bayaran itu juga difahamkan untuk urusan guaman, bayaran Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), perlindungan insurans dan polisi pinjaman seperti ditetapkan ‘syarikat pinjaman wang’ yang beralamat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
“Mangsa berhasrat untuk membuat pinjaman sebanyak RM15,000 selepas melihat iklan itu malah telah menyerahkan beberapa dokumen peribadi termasuk salinan kad pengenalan dan penyata gaji kepada seorang lelaki menerusi aplikasi WhatsApp.
Bagaimanapun selepas beberapa transaksi, mangsa berasa curiga menyebabkan dia membuat semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan mendapati syarikat itu tidak didaftarkan untuk urusan pinjaman wang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Wazir menambah mangsa juga cuba untuk menghubungi nombor telefon suspek, namun talian itu telah disekat.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

