KUALA LUMPUR: Tawaran keuntungan antara 15 hingga 17 peratus antara taktik digunakan sindiket penipuan pelaburan untuk menarik dan memerangkap lebih 150 individu sehingga mengakibatkan kerugian didakwa kira-kira RM830 juta.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Sebanyak lima jenis pelaburan diperkenalkan syarikat yang berselindung di sebalik operasi pengurusan pemasaran, iaitu pelaburan melalui tabung amanah, pembelian saham, pelaburan jangka pendek atau ‘short term note’ dan penerbitan sukuk.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, ketika mendedahkan penipuan itu, berkata kesemua pelaburan yang ditawarkan melibatkan tempoh masa tertentu.
“Keuntungan atau dividen yang ditawarkan sangat menarik, cecah 15 peratus setahun bagi pelaburan melalui sukuk dan melalui tabung amanah. Bagi pelaburan melalui ‘short term note’, untung dijanjikan 20 hingga ke 24 peratus setahun.
“Bagi pelaburan melalui pembelian saham, dividen dijanjikan 15 hingga 17 peratus setahun,” katanya pada sidang media bersama beberapa mangsa penipuan pelaburan berkenaan, di sini hari ini.
Hishamuddin berkata, masalah mula timbul apabila mangsa tidak lagi menerima bayaran dividen dan keuntungan seperti dijanjikan, malah wang pelaburan mereka juga tidak dipulangkan walaupun selepas membuat tuntutan.
“Mangsa dimaklumkan bahawa pihak pengurusan yang memasarkan skim pelaburan berkenaan sebenarnya orang sama menguruskan syarikat yang menerima wang pelaburan dimasukkan pelabur,” katanya.
Seorang daripada mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Rahmah, 63, berkata bukan sahaja wang simpanan lebih RM1 juta miliknya dan suami lebur, mereka juga gagal menikmati sebarang hasil sejak 2020.
“Saya bersama suami menyertai pelaburan ini setelah diyakinkan dengan kertas kerja serta prestasi syarikat yang menunjukkan data lengkap, langsung tak nampak sebarang unsur penipuan. Kebetulan pula saya dan suami merancang nak tambah simpanan untuk masa depan.
“Jadi setelah meneliti dokumen-dokumen yang ditunjukkan, kami terus menyertai pelaburan berkenaan,” katanya memaklumkan, selepas tiga bulan melabur, mereka masih tidak menerima pulangan seperti dijanjikan.
Katanya, antara alasan sering diberikan pihak berkenaan sebagai punca pulangan kepada pelabur ditangguhkan adalah kerana pandemik COVID-19 ketika itu, kononnya perniagaan mengalami kemerosotan, namun kemudian mereka terus menyepi tanpa menghantar maklum balas kepada pelabur.
Seorang lagi mangsa lain yang hanya mahu dikenali dengan nama Hashimah, berkata hubungannya dengan adik-beradik terjejas setelah wang lebih RM300,000 dilaburkan mereka lesap.
“Mulanya, saya didatangi seorang individu bertindak sebagai ejen pemasaran, menawarkan pelaburan saham sebuah syarikat dan menjanjikan pulangan lumayan. Saya ajak kakak dan abang untuk sertai, kami laburkan wang kami bersama dalam pelaburan ini,” katanya.
Kata wanita berkenaan, pulangan yang diharapkan kemudian tidak dibayar seperti dijanjikan, menyebabkan kakak dan abangnya hilang kepercayaan kepadanya, seerusnya meretakkan hubungan merek adik-beradik.
“Mereka percayakan saya sepenuhnya berkaitan pelaburan ini. Saya sedih akibat penipuan ini, hubungan kami bermasalah dan sejak dividen gagal diperoleh, kami tidak lagi berhubung sedangkan saya juga mangsa, tidak mahu jadi perkata ini,” katanya menharapkan kes itu mendapat perhatian sewajarnya pihak berkuasa.
BHonline-