KOTA BHARU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan sedang memantau beberapa ahli politik di negeri ini kerana disyaki terlibat dengan rasuah, kata Pengarah SPRM Kelantan Datuk Moh Samsuddin Yusof.
Beliau bagaimanapun enggan memberi maklumat lanjut berkenaan ahli politik terbabit.
“Apa yang boleh saya jelaskan ialah pihak SPRM sedang memantau ahli politik berkenaan sebelum sebarang tindakan susulan diambil,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata seramai lapan pegawai dan kakitangan kerajaan serta seorang awam di negeri ini ditahan kerana disyaki terlibat dengan gejala rasuah sepanjang tahun lepas.
“Mereka ini ditahan kerana didakwa menerima rasuah antara RM500 dan RM5,000 setiap seorang daripada beberapa individu,” katanya.
Moh Samsuddin berkata dalam tempoh sama, SPRM Kelantan merekodkan 201 aduan daripada orang ramai dan kebanyakan aduan itu berkaitan salah laku pegawai kerajaan, membuat tuntutan palsu dan menerima rasuah.
Beliau berkata daripada 201 aduan yang diterima, pihaknya telah membuka 14 kertas siasatan manakala selebihnya adalah aduan yang tidak lengkap atau tidak berasas.
Sementara itu, mengulas siasatan SPRM terhadap ahli politik di negeri ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pihaknya tidak menerima maklumat berhubung perkara tersebut.
“Itu tanggungjawab SPRM kerana kita mahu melihat Malaysia yang bersih dan integritinya tinggi. Mana-mana pemimpin politik, pentadbir, ahli korporat dan semua rakyat Malaysia yang melakukan kesalahan, tindakan perlu diambil terhadap mereka,” katanya.
Mustapa ditemui pemberita selepas program Sepetang Tok Pa Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan di sini, hari ini. – BERNAMA

