SELEPAS lebih sedekad berkecimpung dalam dunia hiburan, pelakon, Zizan Razak mengakui bersedia untuk melebarkan sayap dalam kerjaya untuk menjadi seorang penerbit pula.
BH Online melaporkan, pemilik nama sebenar Mohd. Razizan Abdul Razak itu berkata, dia sama sekali tidak akan menolak jika rezeki ke arah itu berpihak kepadanya.
Menurut aktor berusia 33 tahun itu, perkara itu masih dalam perancangan selain mengakui menjadi penerbit filem antara impian yang ingin dicapai.
“Jauh di sudut hati, sentiasa terdetik keinginan untuk menghasilkan produksi yang mampu membanggakan industri seni. Saya tidak akan bertolak ansur dalam soal kualiti.
“Begitu juga dalam soal pemilihan pelakon, saya mengutamakan mereka yang mempunyai visi dan memahami tanggungjawab,” kata Zizan.

Dalam perkembangan lain, Zizan kini dikatakan masih sibuk melunaskan baki penggambaran filem sekuel, Polis Evo 2 yang turut menampilkan barisan pelakon seperti Shaheizy Sam, Erra Fazira, Idris Khan dan Azad Jazmin.
“Dalam beberapa hari lagi penggambaran filem ini selesai dan selepas itu, saya akan ke lokasi lain pula. Ada beberapa tawaran filem dan telefilem sedang dipertimbangkan.
“Hampir 11 tahun dalam industri, saya sentiasa ingatkan diri supaya terus pertingkatkan kualiti kerja jika mahu terus bertahan. Itu yang sedang saya lakukan,” ujar anak jati kelahiran Dungun itu.
Sementara itu ketika diminta mengulas lanjut mengenai filem berkenaan, Zizan berkata karya itu mempunyai standard tersendiri yang akan membanggakan industri perfileman tanah air kelak. – MYNEWSHUB.CC/AM

