KEPALA BATAS – Seramai 25 individu termasuk empat wanita yang merupakan penagih dadah ditahan dalam Ops Tapis yang dijalankan di beberapa lokasi di Kepala Batas, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam operasi yang bermula 9 malam tadi hingga 3 pagi hari ini, kesemua yang ditahan berusia 24 hingga 62 tahun itu terdiri daripada buruh dan penganggur.
Hasil pemeriksaan ke atas semua mereka, polis merampas heroin seberat 106.7 gram (g) dan 2.3g syabu yang keseluruhannya bernilai RM3,200, katanya di sini, hari ini.
Katanya 24 individu termasuk dua warga emas itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Sementara itu, dalam operasi berasingan, Noorzainy berkata polis menahan seorang lelaki berusia 22 tahun di Kampung Ujong Batu di Butterworth, dekat sini yang dipercayai pengedar dadah serta merampas heroin bernilai RM450.
Beliau berkata dalam serbuan di rumah lelaki itu kira-kira pukul 11 pagi semalam, polis turut merampas pelbagai peralatan untuk membungkus serta menghisap dadah. – BERNAMA

