MARANG – Penduduk kediaman bertingkat di kawasan bandar disaran menubuhkan pasukan bomba sukarela di kawasan perumahan masing-masing bagi mempercepatkan langkah pencegahan jika berlaku kebakaran atau kecemasan di kediaman mereka.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata langkah itu dapat membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sampai di lokasi kecemasan dalam masa 10 minit di mana ketika ini JPBM berjaya mencapai 50 peratus daripada KPI itu.
Selain itu, katanya, penubuhan pasukan bomba sukarela itu memudahkan JBPM memberikan pelbagai bantuan daripada segi logistik kepada penduduk di kawasan kediaman jenis itu bagi membantu operasi menyelamat dilakukan dengan cepat.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Kebombaan Siri 1/2017 di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, Wakaf Tapai, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim dan Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Sobberi Basiran.
Pada majlis itu, seramai 174 pelatih menerima sijil masing-masing selepas menamatkan kursus selama empat bulan setengah di akademi berkenaan.
Mengulas lanjut, Noh berkata pihaknya kini melakukan pelbagai langkah bagi memantapkan pasukan bomba sukarela yang kini mempunyai 15,000 anggota termasuk meminda Akta Perkhidmatan Bomba 1988.
Pindaan itu adalah bagi memudahkan JBPM memantau dan mengawal selia aktiviti pasukan berkenaan dengan lebih berkesan selain menyediakan latihan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak sebanyak 20 balai bomba baharu akan beroperasi di seluruh negara pada tahun in di mana ia membuka sebanyak 900 perjawatan baharu bagi mengisi kekosongan di balai baharu berkenaan. – BERNAMA