DISEBABKAN komitmen kerja semakin padat, penyanyi hit yang pernah mencipta ‘kontroversi’ melalui lagu Pematah Hati iaitu Nabila Razali, kini semakin mementingkan kesihatan dirinya.
Tahun 2017 dan 2018 merupakan tahun bagi Nabila untuk mencipta nama di pentas nyanyian selepas single keduanyan itu mendapat sambutan hangat.
Jadi disebabkan itu, pemilik nama sebenar Nur Nabila Mohd Razali, 26, perlu sentiasa memastikan kesihatannya tidak terabai dan akan mengamalkan pengambilan air putih yang mencukupi.

“Saya kurang gemar menikmati sayur-sayuran, tetapi terpaksa menukar diet harian selepas jadual kerjaya mulai padat. Pemilihan menu seimbang, selain rehat cukup penting supaya kekal bertenaga.
“Saya juga mula amal minum air putih dalam kuantiti betul. Saya tidak boleh sambil lewa lagi hal berkaitan penjagaan kesihatan kerana banyak urusan perlu diselesaikan,” katanya dipetik BH Online.

Selain itu, Nabila turut mengamalkan pengambilan menu yang seimbang supaya dia akan sentiasa bertenaga dalam melakukan aktiviti harian ataupun semasa melakukan persembahan.
“Bimbang jika jatuh sakit, saya tidak mampu memenuhi komitmen dan mengecewakan pihak yang memberi kepercayaan,” tambahnya lagi.
Dalam masa yang sama, penyanyi yang mula mencipta nama melalui program realiti Akademi Fantasia Musim Ke-10 itu juga masih belum mempunyai apa-apa perancangan untuk merakamkan lagu baharu.

Malah, dia mahu menumpukan lagi kepada lagu Pematah Hati yang telah menaikkan semula namanya selepas ‘kontroversi’ cinta dia bersama dengan pelakon Aedy Ashraf.
“Memandangkan peminat masih memberikan reaksi positif terhadap Pematah Hati, ada baiknya saya memberikan dahulu laluan kepada lagu ini.
“Biarlah lagu ini menikmati momennya, sebelum saya perkenal lagu baharu. Tiada apa perlu dikejarkan, malah kejayaan Pematah Hati membuatkan saya lebih teliti cari single seterusnya,” ujarnya lagi.
Lagu Pematah Hati merupakan sentuhan magis daripada komposer terkenal merangkap pemenang Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL32), iaitu Hael Husaini bersama dengan Ezra Kong.
Kata orang, biarlah kualiti itu lebih tinggi daripada kuantiti. Kalau setakat banyak lagu tapi tak ada kualiti macam mana nak jual kan. – MYNEWSHUB.CC/AH

