NILAI – Pelumba berbasikal trek negara dinasihatkan supaya merujuk kepada pegawai Institut Sukan Negara (ISN) terlebih dahulu, sebelum mengambil sebarang makanan tambahan atau suplemen untuk mengelak mereka terlibat dengan penggunaan bahan terlarang.
Pengerusi ISN, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata walaupun kes doping dalam kalangan atlet berbasikal trek negara tidak membimbangkan ketika ini, beliau mahu mereka mengambil langkah berjaga-jaga dengan mendapatkan nasihat daripada pegawai ISN.
“Kita selalu tekankan dalam ceramah dan seminar untuk atlet negara merujuk kepada ISN terlebih dahulu sama ada mereka boleh makan atau minum sesuatu produk itu atau tidak.
“Untuk berbasikal trek, kita mempunyai beberapa pegawai ISN yang bertugas sepenuh masa untuk memberi bantuan dari segi sains sukan, perubatan, fisioterapi dan sebagainya,” jelas Abdul Azim.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat skuad berbasikal trek negara di Velodrom Nasional, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Azim yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2018, berpuas hati dengan pencapaian dua pingat emas diraih kontinjen negara pada Kejohanan Jemputan Sukan Asia ke-18 yang sedang berlangsung di Jakarta, Indonesia.
Dua pingat emas berkenaan disumbangkan Lee Hup Wei dalam acara lompat tinggi lelaki dan Zaidatul Husniah Zulkifli dalam acara 100m wanita.
“Saya akui persaingan tidak begitu sengit pada kejohanan ini kerana hanya sembilan negara yang dijemput pada kali ini, namun saya lihat pencapaian atlet negara ketika ini agak bagus,” kata Abdul Azim.
Malaysia menghantar atlet dalam enam sukan pada kejohanan jemputan berkenaan iaitu taekwondo, pencak silat, menembak, tinju, olahraga dan angkat berat. – BERNAMA