KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) tidak faham tentang penggunaan perkataan ‘berkenan’ oleh Istana Kelantan berhubung tindakan Sultan Muhammad V menarik balik darjah kebesaran pemimpin Pakatan Harapan.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, menjadi adat pihak istana menggunakan perkataan beradab seperti “berkenan” atau “bersetuju” apabila Sultan mahu melakukan sesuatu perkara.
“Pemimpin-pemimpin PAN seharusnya lebih peka dengan penggunaan bahasa istana atau merujuk kepada pihak yang lebih arif sebelum membuat dakwaan semberono bahawa penggunaan perkataan “bersetuju” untuk menarik balik darjah kebesaran dan gelaran kepada pemimpin membawa maksud penarikan balik itu berpunca daripada cadangan pihak lain,” tegasnya dalam satu kenyataan di Facebook semalam.

PAN baru-baru ini mendakwa Kerajaan PAS Kelantan yang melobi supaya darjah-darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk kepada pemimpin Pakatan Harapan ditarik balik.
Kamarul berkata, dakwaan itu tidak wajar kerana seolah-olah cuba memperlekehkan keupayaan Sultan Muhammad V membuat pertimbangan sendiri dalam soal penting seperti penarikan balik darjah-darjah kebesaran dan gelaran-gelaran ini.
Menurut beliau, malah adalah kuasa prerogatif Sultan Muhammad V yang tidak didorong oleh mana-mana pihak lain selaras dengan peruntukan Perkara 45(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan. – MYNEWSHUB.CC