KUCHING – Jumlah mangsa banjir di Sarawak menunjukkan pengurangan kepada 4,686 orang setakat 4 petang ini, berbanding 5,679 mangsa tengah hari tadi.
Empat pusat pemindahan sementara (PPS) juga ditutup, iaitu di Bahagian Samarahan (Masjid Kampung Seruyuk, Pusat Sumber PBB Sadong Jaya dan Dewan Mesra) manakala di Serian di Dewan Salcra Kedup 2.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata setakat ini, hanya 27 PPS masih dibuka iaitu di Samarahan, Serian, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Mukah dan Limbang.
Di Samarahan 396 mangsa ditempatkan di empat PPS, Serian (1,201 mangsa, 7 PPS), Sarikei (8 mangsa, 1 PPS), Sibu (1,028 mangsa, 4 PPS), Mukah (89 mangsa, 2 PPS), Bintulu (1,508 mangsa, 5 PPS) dan Limbang 456 mangsa di empat PPS, katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – BERNAMA

