KUALA LUMPUR – Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang yang diberi dua beranak warga Indonesia bagi mendapatkan kad Pemastautin Tetap (MyPR).
Sha’ari Darus, 66, yang tidak bekerja mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A.Raof.
Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa dengan curangnya menyalahgunakan wang RM4,000 milik Abdus Samat, 24, yang bekerja sendiri, di Kampung Ampang Indah, Ampang Jaya, di sini pada Disember 2017.
Warga emas itu turut didakwa melakukan kesalahan sama terhadap Saminah Hamsah, 53, pekerja kantin sekolah yang merupakan nenek saudara kepada Abdus Samat, menyebabkan mangsa kerugian RM3,000 di Taman Watan, Ampang Jaya di sini pada 8.05 malam, 15 Jan lepas.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh juga dikenakan sebatan serta boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan dia langsung tidak mempunyai sumber pendapatan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 16 Mac untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

