PUTRAJAYA – Hotel Tabung Haji Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang akan mula beroperasi pertengahan tahun ini sebelum penerbangan pertama jemaah haji yang dijadualkan pada 13 Julai.
Pengarah Urusan Kumpulan Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Johan Abdullah berkata hotel bertaraf empat bintang itu pada asalnya merupakan Kompleks TH yang ditukar nama bagi menjana pendapatan berterusan.
“Kos mengendalikan kompleks haji agak tinggi, jadi kita jadikan hotel. Sebab itu sesetengah hotel TH tiada rating kerana ia adalah kompleks.
“Dengan populariti TH dan konsep patuh syariah, ramai orang yang ingin duduk, jadi konsep hotel ini lebih luas untuk dikomersialkan,” katanya pada sidang media selepas pengumuman hibah TH 2017, di sini hari ini.
Beliau berkata hotel sembilan tingkat itu mempunyai 333 bilik dan sebuah pusat konvensyen berkapasiti 500 orang.
Johan berkata sebuah lagi hotel TH di Kuching yang berkapasiti kira-kira 200 bilik turut dijangka beroperasi pada tahun ini.
Mengulas prestasi kewangan TH, beliau berkata pendapatan kasar sebanyak RM4.5 bilion yang dicatatkan TH pada tahun 2017 berbanding RM3.4 bilion pada tahun sebelumnya jelas menunjukkan TH berada pada landasan yang tepat.
“Keuntungan pelaburan atas aset ekuiti menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan TH iaitu sebanyak 53 peratus, diikuti aset pendapatan sebanyak 22 peratus. Ini sejajar dengan prestasi baik pasaran saham.
“Selain itu, aset hartanah kita juga memberi kadar pulangan yang baik iaitu sebanyak enam peratus, selari dengan prestasi pasaran sewaan.
Johan berkata TH pada tahun ini akan terus memberi fokus kepada pelaburan terasnya dalam pelbagai sektor antaranya bidang kewangan Islam, perladangan, hartanah dan perhotelan. – BERNAMA