LARUT – Kerajaan sentiasa peka dengan masalah rakyat dan berusaha menanganinya melalui pelbagai program, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ini terbukti melalui Program Jom Serbu bersempena Karnival Jualan Murah di sini yang menawarkan harga barangan lebih murah, katanya kepada pemberita selepas menghadiri program itu yang diadakan di Arena Square, Batu Kurau di sini hari ini.
Kerajaaan Barisan Nasional (BN) sememangnya peka dan berusaha memberikan keselesaan kepada rakyat dan melalui program ini pengguna setempat mendapat manfaat apabila membeli barangan keperluan yang ditawarkan itu.
Ini merupakan strategi kerajaan dalam menangani masalah orang tengah dan sekali gus membantu mengurangkan beban rakyat,” katanya.
Hamzah yang juga anggota Parlimen Larut berkata sebanyak 88 bahagian UMNO seluruh negara telah mengadakan program berkenaan dalam membantu rakyat.
Menurut Hamzah, program ini mendapat respons luar biasa daripada rakyat dari seluruh negara walaupun ada sesetengah tempat menawarkan harga murah bagi barangan yang berlainan.
“Kami akan meneruskan program ini kerana ia jelas memberikan faedah kepada rakyat kerana barangan dijual dengan harga murah berbanding di pasaran,” katanya.
Katanya, antara barangan keperluan yang dijual adalah beras, gula, tepung, minyak masak, ayam, bawang dan sayur-sayuran.
“Harga yang ditawarkan begitu murah, sebagai contoh, daging dijual RM15 sekilogram dan ayam RM8.50 seekor. Saya juga mendapati dua ekor lembu (daging) habis dijual dalam tempoh sejam,” katanya.
Sementara itu, seorang penjual kuih pau dari Rawang, Selangor, yang hanya mahu dikenali sebagai Hamka, 34, berkata pihaknya memberikan 6,000 pau pelbagai jenis secara percuma kepada pengunjung program berkenaan bagi mempromosi pau keluaran Bumiputera kepada penduduk di sini.
“Saya membawa 8,000 biji pau pada hari ini dan hanya 2,000 biji pau sahaja yang akan dijual pada hari ini,” katanya. – BERNAMA

