TEHERAN – Seorang ulama Iran, Hoseyn Khademian menimbulkan kekecohan di negara itu apabila tampil di sebuah stesen televisyen milik pemerintah dengan mengenakan pakaian berwarna kuning terang, lapor agensi berita tempatan Mehr.
Beliau bukan setakat memakai kemeja dan kasut berwarna kuning muda menyala, malah jam tangan pun warna kuning ketika diwawancara menerusi sebuah program bual bicara yang tidak dinyatakan bilakah masa siarannya ke udara baru-baru ini.
Penampilan ceria Hoseyn, nyata amat kontras berbanding ulama-ulama tipikal republik tersebut yang secara kebiasaannya lebih dikenali kerana berpakaian konservatif dengan kemeja warna putih dan jubah gelap serta memakai kasut hitam.
Bagaimanapun fesyen ironi beliau mencetuskan kritikan ramai pengguna media sosial dari seluruh Iran apabila sebahagian daripada mereka menuduh ulama itu sebagai sengaja mencari perhatian umum atau mahu mengejar publisiti secara murahan.

Seorang pengguna laman popular Facebook melihat Hoseyn seumpama sebiji buah pisang dengan kombinasi warna kuning berlatarkan hitam manakala ada pengguna lain menyamakan beliau seperti seekor burung kenari atau kakak tua.
“Dia sebenarnya kelihatan lebih menarik jika memakai penutup kepala warna merah muda,” sindir seorang pengguna lain apabila menceritakan Hoseyn pernah muncul di kaca televisyen sebelum ini dengan memakai pakaian berwarna merah.
Meskipun penampilan beliau menjadi tajuk berita utama di Iran, Hoseyn menjelaskan dirinya tidak memahami apa yang dikecohkan orang ramai kerana ulama ini sendiri pernah beberapa kali ‘melanggar’ norma umum berpakaian tokoh agama.
“Saya pernah memakai baju warna merah ketika ditemuramah dalam program TV dan pihak pengurusan stesen penyiaran tersebut bahkan penonton waktu itu tidak ‘bising’ pun kerana jika tidak, saya pasti dilarang ke udara lagi,†katanya. – Agensi

