KUCHING – Jenazah dua beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 12, Jalan Pesisir Bintulu-Miri kelmarin selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kolong 1, Matang di sini, hari ini.
Anak kedua mangsa, Abdul Aziz Remnelan, 25, berkata mereka sekeluarga sukar menerima kenyataan bahawa ayah dan adik bongsunya sudah pergi buat selama-lamanya.
Katanya kali terakhir dia bertemu dengan kedua-duanya kira-kira 5.30 pagi kelmarin sebelum mereka pergi ke sekolah.
“Ayah tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik, dia sentiasa ceria dan sesekali bergurau senda dengan kami sekeluarga ketika makan bersama.
“Adik pun begitu, juga cuma dia kelihatan bersemangat untuk ke sekolah selepas dipilih menjadi pengawas sekolah baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di sini.
Dalam kejadian antara sebuah bas sekolah dan treler semalam, bas yang dipandu mangsa, Remnelan Samat, 55, telah merempuh sebuah lori besi rosak yang berhenti di tepi jalan.
Mangsa dan Aien Laila Alesha Abdullah, 11, maut di tempat kejadian akibat tertusuk batang paip besi manakala anaknya Nurnadia Syakila, 9, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bintulu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata pemandu treler Sandah Mensan, 28, kini ditahan di lokap Balai Polis Bintulu untuk siasatan lanjut. – BERNAMA

