• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Wednesday, June 3, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Syarikat Tempatan Perlu Gigih Tinjau Pasaran Baharu

oleh Ahmad Albab
30/01/2018
dalam Terkini
0
Share on FacebookShare on Twitter

PUTRAJAYA – Syarikat-syarikat tempatan perlu memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai antara 25 negara pengeksport terkemuka dunia dengan berusaha gigih dan meninjau pasaran baharu, mempelbagaikan produk serta mewujudkan pekerjaan untuk golongan muda, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu Perdana Menteri menggesa semua dewan-dewan perniagaan negara ini untuk menggembleng tenaga sebagai satu pasukan yang kuat bagi memanfaatkan kemampuan serta peluang berkenaan.

“Seiring dengan perkembangan yang menyaksikan pusat ekonomi dunia kini beralih ke timur, adalah jelas kepada semua bahawa sudah tiba masanya untuk (kebangkitan) Asia pada abad ke-21 ini.

“Oleh itu, kita perlu memanfaatkan peluang yang ada pada masa ini. Kita tidak boleh lagi hanya berdiam diri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam bertemakan ‘Masa Depan Bermula Malam Ini’ anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di Seri Perdana, di sini, hari ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri J. Jayasiri, Presiden DPMM Rizal Faris Mohideen Abdul Kadir, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) Tan Sri Ter Leong Yap dan Ketua Pegawai Eksekutif Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) Datuk CM Viknaesvaran Jeyandran.

Najib turut mengingatkan syarikat-syarikat Malaysia untuk mengambil kesempatan daripada Insiatif ‘Belt and Road’ China (BRI) yang berpotensi membentuk platform kerjasama ekonomi terbesar dunia.

Beliau berkata, BRI yang bertujuan menghubungkan 68 negara di serata Eropah, Asia dan Afrika, mewakili sebuah pasaran merangkumi 4.4 bilion penduduk atau 63 peratus populasi dunia serta 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

“Itulah pasaran yang boleh ditembusi Malaysia yang pasti dipermudahkan apabila aspek kesalinghubungan itu dapat dipertingkatkan,” katanya.

Malah, beliau berkata, BRI sudah pun digerakkan, misalnya menerusi penyertaan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group Jack Ma dalam Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), platform e-dagang dan melengkapi matlamat perdagangan tanpa had dalam BRI.

Sejajar komitmen lebih 1,900 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk menyertai DFTZ, Perdana Menteri berkata adalah dijangkakan barangan bernilai US$65 bilion akan melalui platform itu dan mewujudkan sebanyak 60,000 kerja secara langsung dan tidak langsung menjelang 2025.

Selain itu, Najib yang juga Menteri Kewangan turut mengingatkan kalangan pemimpin perniagaan agar terus berinovasi, menerapkan teknologi maju serta cara pemikiran baharu.

“Kita perlu sentiasa berfikir bagaimana dapat meningkatkan kemahiran agar lebih maju dan menjadikan penduduk lebih layak bagi ekonomi baharu abad ini,” katanya.

Bagi pihak kerajaan, Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan melaksanakan tugasnya untuk memacu inovasi dalam sektor awam bagi melengkapi usaha penting sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan yang diwakili dewan perniagaan terbabit.

Pada majlis itu, Najib turut menerima seekor kucing Parsi bernama ‘Sugar’ yang diserahkan oleh Presiden Kelab Pencinta Kucing Malaysia, Dr Thomas Jong bersempena pembukaan sebuah taman, Bustana Kucing di Perlis.

Taman bertemakan kucing yang akan dilancarkan pada 24 Februari ini, diwujudkan bagi menembusi industri berkenaan di peringkat global.

Sementara itu, DPMM menggariskan 16 program di bawah empat kategori — perkongsian bijak, pembangunan kapasiti, jangkauan awam dan Dewan Global yang akan dimulakan dalam tempoh enam bulan akan datang.

Rizal Faris dalam satu kenyataan, berkata di bawah perkongsian bijak itu, DPMM akan bekerjasama dengan HRDF untuk menangani usaha pembangunan kapasiti, meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula tenaga kerja sedia ada.

“Ini bagi mempersiapkan tenaga kerja itu dengan cabaran baharu serta pekerja masa depan bagi kerja yang akan diwujudkan hasil daripada perubahan teknologi,” katanya.

Menurutnya, Pelan Tindakan Sumber Manusia Kebangsaan HRDF (2018-2025) turut menyentuh kejayaan pembinaan tenaga kerja negara dengan menggariskan cadangan bagi pembangunan sumber tenaga Malaysia di masa depan.

“Ini masanya untuk bertindak. Kita perlu merebut peluang yang terbentang di depan mata. Kita menetap di kawasan yang mana 88 peratus daripada penyertaan baharu golongan pertengahan global yang dijangka membelanjakan kira-kira US$23 trilion atau lebih (US$1=RM3.87) setahun menjelang 2030, menetap di sini,” katanya.

Bagi aspek pembangunan kapasiti, program yang digariskan termasuk 1AM Usahawan, latihan IR 4.0, usahawan muda ASTI, Minggu Fesyen LOKA dan Bustana Kucing yang dapat merebut peluang pertumbuhan ditawarkan industri haiwan peliharaan kesayangan.

Rizal Faris berkata program ‘Masa Depan Bermula Malam Ini’ memulakan program jangkauan awam bagi mencetuskan kesedaran dan memahami usaha kerjasama itu.

Strategi Dewan Global pula, katanya, bermatlamat memudahkan penyertaan ke dalam pasaran baharu terutama pasaran halal global yang bernilai US$500 bilion, ketika ini. – BERNAMA

Tags: Datuk Seri Najib Tun Razak
Share196Tweet123SendShare

Related Posts

Semoga Aidiladha Kali Ini Hadir Bersama Khabar Baik – Nazif Najib

Semoga Aidiladha Kali Ini Hadir Bersama Khabar Baik – Nazif Najib

26/05/2026
0

KUALA LUMPUR - Desas-desus kemungkinan pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin bertiup kencang susulan satu hantaran...

DAP Dedah Pertemuan Kit Siang Dengan Kem UMNO Anti-Najib Sebelum PRU14

DAP Dedah Pertemuan Kit Siang Dengan Kem UMNO Anti-Najib Sebelum PRU14

19/05/2026
0

KUALA LUMPUR - Pengarah Strategik DAP mengimbas strategi Pakatan Harapan (PH) menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd