KUALA LUMPUR – Isu pelesenan kelab yang dihadapi oleh kelab bola sepak Felda United pada musim lepas tidak akan meluntur semangat pasukan walaupun terpaksa beraksi dalam Liga Perdana musim ini.
Presiden Felda United, Datuk Ab Ghani Mohd Ali mengakui pasukannya perlu menerima hakikat itu dengan melupakan perkara yang lepas dan kembali kompetetif bagi menjuarai Liga Perdana musim ini untuk kembali ke Liga Super 2019.
Biarpun Felda United menduduki tangga ketiga Liga Super 2017, pasukan itu terpaksa akur apabila jatuh ke Liga Perdana musim ini ekoran kegagalan pasukan itu mendapatkan lesen kelab daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim ini.
“Walaupun tahun ini turun di Liga Perdana, pemain perlu meneruskan perjuangan dan saya yakin pasukan boleh menjuarai satu kejuaraan musim ini. Sasaran kita adalah muncul Juara Liga Perdana dan kembali ke Liga Super.
Yang memberi lesen adalah pihak lebih tinggi, Felda United sebagai ahli gabungan FAM, kami akan mematuhi setiap prosedur yang ditetapkan. Pada tahun ini kami akan memberikan komitmen sepenuhnya kepada FAM,” katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan pemain dan pegawai pasukan Felda United dalam saingan Liga Perdana musim ini di Menara Felda di sini, hari ini.
Terdahulu, Ab Ghani menyempurnakan majlis menandatangani kontrak bersama tiga pemain import dari Brazil iaitu Gilberto Fortunato, Thiago Junior Aqino, Thiago Augusto Fernandes dan Iain Ramsay dari Australia.
Dalam pada itu Felda United turut menerima tajaan daripada syarikat Universal Fitness and Leisure Sdn Bhd bernilai RM400,000 selama setahun untuk pasukan utama, pasukan bawah 19 dan 21 tahun serta pasukan futsal Felda lelaki dan wanita.
Ab Ghani berkata kos perbelanjaan tahun ini bagi pasukan bola sepak Felda United secara keseluruhannya berjumlah RM15 juta berbanding RM25 juta pada tahun lepas.
“Walaupun tidak seperti tahun lalu, tetapi jumlah RM15 juta masih nilai yang besar untuk pasukan. Kami perlu bekerja lebih keras lagi untuk mencari penaja-penaja bagi menampung perbelanjaan semua pasukan,” katanya.- BERNAMA