MANILA – Pemimpin kerohanian tertinggi Kristian Katholik, Pope Francis pada Khamis mengutuk pembunuhan atas nama agama namun memberi amaran, jangan mempermainkan isu agama walaupun bercakap atas nama kebebasan bersuara.
Menjawab soalan pemberita tempatan ketika tiba di ibu negara Filipina di sini untuk lawatan rasmi selama lima hari, paus agung berusia 78 tahun itu menjelaskan, semua agama ada maruah dan kebebasan berucap terhadap agama tertentu pun ada batasan.
“Bunuh seseorang atas nama tuhan adalah mustahil. Jika seorang sahabat baik hina ibu saya misalnya, orang itu sepatutnya jangka akan dapat balasan balik, itu normal, anda tidak boleh provokosi atau persenda kepercayaan orang lain,†kata Pope Francis.
Beliau yang mencipta sejarah sebagai paus pertama berasal dari benua Amerika Latin menggantikan Pope Benedict XVI pada 2013 lalu, turut mengulas isu serangan berdarah ke atas pejabat akhbar satira Charlie Hebdo di Paris, Perancis minggu lepas.

Penyerang rakyat tempatan dipercayai menembak mati 12 orang termasuk dua anggota polis sebagai balas dendam terhadap sikap akhbar mingguan yang sering hina agama Islam selain mempermainkan Nabi Muhammad SAW sejak ditubuhkan pada 1970.
Pope Francis yang dilihat kebanyakan penganut Kristian sebagai lebih progresif berbanding paus-paus Vatican terdahulu turut menambah, kebebasan bersuara wajar diimbangi dengan prinsip bertanggung jawab dan menghormati agama pihak lain.
“Anda bebas bercakap apa sahaja kerana itu hak asasi manusia namun, ia mesti ditonjolkan tanpa menyakiti kumpulan lain,†kata beliau yang merupakan pope keempat dalam sejarah melakukan lawatan rasmi ke Filipina, negara Asia tunggal majoriti Katholik.
Lebih 40,000 anggota polis dan tentera Filipina dikerah mengawal ketat keselamatan di lokasi dilawati paus tersebut ekoran kebimbangan serangan militan Islam tempatan selain permintaan Pope Francis sendiri enggan menaiki kenderaan kalis peluru.
Beliau dijangka mengunjungi Tacloban City pada Sabtu untuk melawat puluhan ribu mangsa taufan Haiyan yang membunuh lebih 7,000 penduduk pada 2013 di bandar raya itu selain beberapa acara lain di Manila sebelum balik pada Isnin. – Agensi

