BERA – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mengkaji untuk menaikkan had kelayakan pendapatan ibu bapa bagi penerima bantuan pendidikan Akaun Amanah Bakti Desa (AAB) daripada RM1,000 kepada antara RM1,500 sehingga RM2,000.
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu akan diteliti oleh Jawatankuasa Dasar peringkat kementerian kerana ia akan melibatkan pertambahan jumlah penerima selain peruntukan dana.
“Pada masa kini had kelayakan pendapatan yang ditetapkan adalah RM1,000 dan kementerian mendapati ia tidak lagi bersesuaian. Malah penerimanya semakin berkurangan sedangkan kita hendak membantu meringankan beban seramai mungkin pelajar di luar bandar.
“Bagaimanapun ia akan melibatkan implikasi pertambahan penerima dan dana tidak mencukupi… jadi kita akan kaji dahulu dengan teliti kerana dana yang diperoleh daripada agensi di bawah KKLW setiap tahun tidak banyak,” katanya.
Ismail Sabri yang juga anggota Parlimen Bera berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian Sumbangan Bantuan Pendidikan Bakti Desa kepada 175 pelajar daripada kawasan Parlimen Bera di sini, hari ini.
Menurutnya bermula tahun 2005 hingga tahun lepas jumlah sumbangan yang disalurkan oleh agensi di bawah KKLW seperti Felcra, Risda, Mara, Ketengah dan Kesedar untuk Akaun Amanah Bakti Desa (AAB) adalah sebanyak RM17.4 juta manakala sumbangan disalurkan kepada penerima sebanyak RM12.3 juta.
Selain untuk bidang pendidikan, dana daripada AAB turut disalurkan untuk bantuan bencana serta bantuan program khidmat masyarakat.
Untuk bantuan bidang pendidikan, Ismail Sabri berkata pelajar sekolah dan individu melanjutkan pengajian bagi peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) akan menerima bantuan RM500 dan RM1,000 bagi pelajar institusi pendidikan tinggi.
“Kita juga memberikan bantuan pembiayaan dan wang saku berjumlah RM5,000, RM10,000 dan RM12,000 bagi pelajar SKM tahap satu, dua serta tiga di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM),” katanya. – BERNAMA