TEGAS… Polis berjaya merakamkan kenyataan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali berhubung ucapannya dalam satu perhimpunan haram di ibu negara pada 10 September tahun lalu.
Wanita yang berusia 91 tahun itu terdahulu tiba di pekarangan bangunan Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur kira-kira pukul 9 pagi dengan diiringi oleh suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anak mereka, Datuk Marina.
Dua pegawai penyiasat polis dari ibu pejabat Bukit Aman dilaporkan media tempatan kemudiannya tiba pada pukul 11.40 pagi dan mereka hanya menghabiskan lebih satu jam untuk menyoal Siti Hasmah sebelum solat Jumaat.
Peguamnya, Hanif Khatri Abdulla memberitahu pemberita bahawa kes ucapan ketika himpunan tanpa permit bertajuk ‘Wanita Bantah Politik Toksik’ itu disiasat mengikut Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012.
Beliau berkata pihak polis cuma menyediakan sebanyak 12 soalan, beberapa daripadanya berkaitan dengan ucapan Siti Hasmah pada program perhimpunan antikerajaan yang jelas gagal mendapat sambutan ramai pihak itu.
Baca: Siti Hasmah Pulang Pingat Kerana Setia Pada Suami
Juga: “Suami Sendiri Larang Saya Bertudung” – Siti Hasmah
Dalam ucapan ringkas di hadapan kira-kira hanya 1,000 peserta, beliau dilaporkan media propembangkang telah menggesa wanita supaya memainkan peranan mereka dalam menghentikan amalan ‘politik toksik’ di negara ini.
Perhimpunan itu menyasarkan antara lain, keganasan politik, ugutan, perkauman, seksisme, ucapan kebencian serta kegagalan pihak kerajaan untuk konon memastikan keselamatan awam dan kesucian perlembagaan persekutuan.
Selain Marina, hadir sama pada acara hambar tersebut ialah bekas Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan, Pemimpin G25, Datuk Faridah Arifin dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Pada 12 Disember lalu, Siti Hasmah menggemparkan negara apabila ikut jejak suaminya yang pernah dikutuk pembangkang sebagai Maha Firaun apabila menyembah derhaka memulangkan pingat kebesaran Sultan Selangor.
Terdahulu pada 24 November tahun lalu, beliau mendedahkan terpaksa tidak berhijab kerana dilarang suaminya sendiri ketika mengulas isu ada hotel biadab larang staf wanita Muslim bertudung. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA