KUALA LUMPUR – Beberapa individu dikesan menjalankan kegiatan penipuan meminta sumbangan daripada syarikat-syarikat swasta dalam negara kononnya untuk kebajikan kakitangan kerajaan.
Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.), Datuk Najmuddin Abdullah berkata, individu terbabit menyamar sebagai pekerja MRT Corp.
“MRT Corp. mendapati beberapa syarikat telah diminta oleh individu tertentu untuk memberi sumbangan atas nama syarikat MRT Corp. menerusi panggilan telefon.
“Individu ini mendakwa sumbangan itu untuk badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kakitangan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, individu terbabit akan mengemukakan dokumen kononnya surat rasmi yang mengandungi kepala surat NGO dan nombor akaun bank.
Jelas beliau, kebanyakannya syarikat yang menjadi sasaran kegiatan penipuan itu adalah kontraktor dan subkontraktor Projek MRT Lembah Klang.
“MRT Corp. menyatakan dengan tegas tidak pernah membuat apa-apa persetujuan dengan NGO untuk menjadi benefisiari bagi sebarang kempen derma,” katanya.
Malah, katanya. MRT Corp. juga tidak memberi kebenaran kepada sesiapa pun untuk mendapatkan derma bagi mana-mana organisasi bagi pihak MRT Corp.
“Ia adalah kes serius yang melibatkan penyalahgunaan identiti MRT Corp. serta nama pegawai kanan MRT Corp.,” katanya.
Justeru, kata Najmuddin, MRT Corp. akan membuat laporan polis dan menggesa syarikat yang menerima panggilan telefon itu turut membuat laporan polis.
“Organisasi-organisasi ini juga harus segera memaklumkan MRT Corp. jika mereka menerima panggilan sedemikian,” katanya. – MYNEWSHUB.CC