KECOH menerusi media sosial memaparkan aksi seorang pemandu lori simen yang menukar lorong secara melulu sehingga menyebabkan sebuah Perodua Viva ditimpa kemalangan di Johor.
Insiden nahas dramatik itu dirakam dascam seorang pengguna jalan raya pada pukul 6.58 petang semalam, di sebuah lebuh raya di Tebrau menuju ke Johor Raya, sebelum ia menjadi tular menerusi media sosial.
Menerusi video, mangsa, Jia Min Camen yang berada di lorong kiri pada mulanya memandu seperti biasa bersebelahan dengan lori berkenaan.
Keadaan jalan raya ketika itu pula seakan sesak dan kenderaan bergerak perlahan.
Sebaik saja kereta di hadapan lori terbabit menukar laluan ke lorong kiri, pemandu lori itu pun turut menukar laluannya ke lorong kiri dengan laju tanpa menyedari kereta mangsa yang dipercayai berada di titik buta
Lori itu lalu terus merempuh bahagian kanan kereta mangsa sebelum kenderaan itu berpusing di hadapan lori tersebut sehingga tersadai di lorong tengah.


Difahamkan mangsa selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Menurut Camen, ada saksi yang mendakwa dia yang bersalah dan telah melanggar lori terbabit.

Bagaimanapun, mangsa berusaha mencari bukti dari saksi lain di laman Facebook dan berjaya mendapatkan video rakaman dashcam yang menunjukkan bahawa dia tidak bersalah.
Menurut pemilik video berkenaan, William Yong, berkata, jika dia cuba memotong melepasi lori tersebut, pasti dia yang akan menjadi mangsa.
“Kalau saya potong lori itu, pasti saya yang terkena. Video ini mesti disebarkan dan perhatikan cara pemanduan pemandu lori berkenaan yang menyebabkan kemalangan,” katanya.
Sementara itu, netizen di media sosial sehingga kini mengecam teruk sikap pemandu lori simen terbabit gara-gara tidak konsentrasi dengan keadaan sekeliling ketika memandu. – MYNEWSHUB.CC

