KEPALA BATAS – Tiga lelaki, dipercayai antara dalang sindiket penipuan pelaburan membabitkan kerugian lebih RM700,000 di negeri ini telah melarikan diri ke Australia, kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A.Thaiveegan.
Beliau berkata pihaknya kini mendapatkan kerjasama daripada polis negara itu untuk mengesan tiga lelaki terbabit yang berusia dalam lingkungan 30-an.
“Selain tiga lelaki yang telah dikenal pasti itu, polis juga sedang mengesan beberapa lagi individu untuk siasatan lanjut. Saya juga menggesa mangsa agar tampil membuat laporan polis… setakat ini lebih 10 orang telah buat laporan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, di sini hari ini.
Pada Rabu, polis menahan seorang lelaki dan dua wanita berusia antara 40 dan 48 tahun bagi membantu siasatan kes itu dan reman mereka yang tamat hari ini disambung tiga hari lagi.
Polis sebelum ini menerima laporan daripada beberapa orang mendakwa ditipu tiga individu berkenaan yang didakwa menawarkan satu skim pelaburan yang menjanjikan pulangan sebanyak satu peratus sehari atau 30 peratus sebulan daripada wang dilaburkan mangsa.
Sementara itu dalam perkembangan lain Thaiveegan berkata polis menahan seorang lelaki di kawasan hentian rehat dan rawat Ayer Keroh, Melaka yang disyaki terlibat dalam kejadian rompakan kedai emas di Jalan Datuk Ooh Chooi Cheng, di sini pada Rabu.
Beliau berkata lelaki berusia 48 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori itu ditahan kira-kira pukul 3 petang semalam dan kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian pukul 10 pagi Rabu, dua lelaki bersenjatakan sepucuk pistol merompak sebuah kedai emas dan melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal bersama barang kemas bernilai kira-kira RM400,000.
Seorang daripadanya berjaya ditahan selepas kejadian itu manakala seorang lagi melarikan diri.
Thaiveegan berkata polis kini memburu seorang lagi rakan mereka berusia 30-an yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun dan rompak di sekitar Pulau Pinang dan Kedah. – BERNAMA