HULU TERENGGANU – Gangguan bekalan air di 51 kawasan penempatan di daerah Hulu Terengganu yang terjejas sejak 2 Jan lepas hingga semalam kini sudah pulih seperti biasa.
Ketua Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU) Sdn Bhd, Ir Atemin Sulong berkata kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan di tempat berlakunya kebocoran paip di dasar sungai sudah selesai dan penduduk sekitar boleh menggunakan bekalan air seperti biasa.
“Namun, jika ada sebarang masalah, pengguna boleh menghubungi petugas kami di Careline Satu 1-300-882-111 atau Pejabat Satu Hulu Terengganu 09-6811214,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Gangguan bekalan air itu memberi kesan kepada 7,000 rumah di kawasan terbabit.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Lubuk Pait, Noraini Abu Bakar, 56, bersyukur apabila bekalan air sudah pulih.
“Terima kasih sebab baiki bekalan air, walaupun sukar, tetapi SATU ada menyediakan tong dan lori bekalan air kepada penduduk untuk mendapatkan air bersih,” katanya dan menambah penduduk kampung turut menggunakan air sungai untuk membasuh baju dan pinggan mangkuk ketika bekalan air terputus. – BERNAMA

